Skip to main content

3 kali KENA SCAM di Luar Negara ?!!





Ketika Travel, kita pasti mahu mengelakkan kejadian seperti ditipu kerana ditipu hidup hidup ini adalah perkara yang amat menyakitkan hati. "Parut" kisah ditipu tidak akan dapat dilupakan selama-lamanya.

Untuk itu, post kali ini ingin saya kongsikan kisah di mana saya ditipu di tiga negara berbeza iaitu di Vietnam, India dan Mesir. Selamat membaca dan jangan tertipu dengan kejadian yang saya alami ini ya ;)


Kisah 1 – Kena Scam : Di Vietnam ( Julai 2014) 

Aku bersama tiga orang teman, Zack, Zakirin dan Nukman bergerak menuju ke kota Ho Chi Minh Vietnam melalui jalan darat dari Phnom Penh, Kemboja. Kami menaiki bas dengan tiket berharga RM30 sehala. Hampir lapan jam masa diambil untuk tiba di Ho Chi Minh termasuk menaiki Feri menyeberangi sempadan Phnom Penh- Saigon dan urusan imigresen.  Perjalanan yang agak memenatkan dengan keadaan bas yang dibawa laju terhuyung hayang.

Suatu kisah yang tidak dapat kami lupakan di Ho Chi Minh ini adalah ketika menaiki beca yang dilihat mencari pelanggan di hadapan pasar Ben Thanh. Pada awalnya, pengayuh beca itu bercerita kepada Nukman berkaitan lokasi yang boleh dibawa olehnya untuk melawat tempat-tempat menarik di Ho Chi Minh. Agak menarik juga lokasi dan gambar-gambar yang ditunjukkan kepada kami. Ditambah pula dia menunjukkan review beberapa orang pelanggan dari serata dunia yang pernah dibawanya termasuk orang Malaysia sendiri. Kelihatan wang kertas RM diletakkan pada buku review tersebut. Tulisan yang tertulis adalah :

“ Kami telah menaiki beca ini, sangat best. Dapat tengok tempat-tempat menarik dengan harga yang sangat murah, terima kasih uncle beca “

Apabila ditanya mengenai harga, dia hanya menunjukkan angka 1 dan 5. Apabila ditanya lagi,

“15 000 VND (Vientam Dong) ?” Dia hanya menganggukkan saja. Tanda mengiakan.

Sangat murah jika benar, sekitar RM3.  Aku sekali lagi bertanya walaupun Nukman , Zakirin dan Zack sudah berkali-kali mendapatkan kepastian mengenai harga yang diletakkan. Akhirnya aku turut bersetuju untuk menaiki beca tersebut. Namun, kami meminta untuk pulang sebentar menghantar barang yang dibeli ke bilik hotel terlebih dahulu, senang sedikit nak bergerak. Kedudukan hotel terletak hanya 10 minit berjalan kaki dari pasar Ben Thanh.

Ketika berada dalam bilik hotel, sekali lagi aku meragui mengenai khidmat beca tersebut, agak lama juga kami berada dalam bilik sedangkan kami sudah maklumkan kepada pengayuh beca tersebut untuk menunggu. Kasihan pula. Janji tetap janji, kami turun semula daripada hotel  dan terus menuju ke beca tersebut. Benar dia masih menunggu dengan penuh sabar di seberang jalan bersama becanya. Dia juga memaklumkan sudah panggil tiga lagi beca rakan-rakannya. Bermakna kami akan menaiki seorang satu beca dengan harga 15 000 dong yang dikatakan. Sekali lagi aku mengingatkan, cuma 15 000 dong sahaja kan. Dia hanya tersenyum mengangguk.

Kayuhan beca bermula, kami duduk selesa dalam beca masing-masing. Kesian juga lihat mereka mengayuh beca tersebut, berpeluh-peluh dibuatnya. Dalam perjalanan, aku cuba mengambil gambar yang menarik perhatian sepanjang laluan, namun dinasihatkan oleh tuan beca agar jangan mengambil gambar, bahaya kawasan ni takut ada orang ambil kamera tersebut. Aku terima alasannya, benar juga risau ada yang meragut sedang aku leka mengambil gambar.

Beca aku dan rakan-rakan yang lain berjalan sederet sahaja. Aku juga bertanya kepada tuan becaku, kebiasaannya berapa ramai penumpang yang naik beca ini. Katanya dalam sehari ada 5, 6 orang. Rata-ratanya dari luar negara. Aku mengira-ngira, kalau 6 orang sehari dia dapat, 6 kali Rm3 bersamaan RM18. Takkanlah pendapatannya sedikit itu dengan penat lelah mengayuh beca. Kalau ikutkan pada pakej juga, tempoh lawatan kami dengan beca ini adalah sekitar satu jam setengah. Seakan tidak logik. Jauh di sudut hatiku berkata, kalau kena tipu RM30 pun aku rasa berbaloi dan sanggup lagi bayar.

Beberapa muzium kami lawati dan beberapa lagi kawasan menarik di kota ini. Masa berlalu begitu pantas, puas juga melihat pemandangan kota Ho Chi Minh yang agak padat dengan kenderaan lalu lalang tapi kami pula tenang menaiki beca. Setelah lebih satu jam perjalanan, aku meminta untuk dihantar ke Masjid Ho Chi Minh untuk menunggu waktu berbuka puasa. Di masjid tersebut juga ada disediakan juadah berbuka percuma. Rezeki. Tuan beca bersetuju untuk ke sana, namun kami diberhentikan di sebatang jalan yang tidak terlalu sesak dengan kenderaan. Katanya mereka tidak boleh membawa beca masuk melalui jalan menuju ke masjid tersebut. Kami pon bersetuju dan kata mereka, kedudukan masjid tersebut terletak tidak jauh dari kawasan tersebut. Kami percaya.

Kini tibalah masanya untuk membayar perkhidmatan beca tersebut. Seperti harga yang dinyatakan sebelum menaiki beca, aku mengeluarkan sekeping wang kertas 20 000 dong untuk membayar, begitu juga rakan-rakanku yang lain. Saat itu, tuan beca tersebut menggelengkan kepala dan menunjukkan harga yang tertera pada kertas pakej tersebut. Sewaktu mula-mula dia mempromosikan pakejnya hanya menunjukkan gambar yang ada pada kertas tersebut, bukannya harga. Terkejut kami melihat harga yang tertera, bukannya..

15 000 VND  Vienam Dong,
Mahupun 150 000 Dong,
Tetapi 1 500 000  Dong bersamaan hampir RM 300 SEORANG.

Terlopong aku dibuatnya. Penipuan yang maha dahsyat. Tidak disangka-sangka. Wajah yang nampak ikhlas mengayuh tadi rupa-rupanya kaki scam. Penipu.

Aku mula meninggikan suara, aku marah terus kepada tuan beca yang aku naiki mengenai perjanjian yang dicapai di awal tadi. Aku sudah berkali-kali meminta kepastian mengenai harga namun jawapannya tetap sama. Aku tidak akan bayar harga yang diminta, tidak masuk akal langsung. Dia tetap berkeras dengan harga yang “gila” tersebut. Katanya mereka banyak menghabiskan masa, lebih satu jam mereka membawa kami melawat. Penat. Sedangkan banyak masa mereka dihabiskan untuk menunggu ketika kami sedang melawat muzium-muzium yang mereka bawa.

Aku membalas, walaupun dari segi masa, takkanlah sampai begitu harganya. Aku tetap berkeras tidak mahu bayar. Tiga orang rakan becanya tidak pandai Bahasa Inggeris, namun kelihatan mereka sudah mula marah dengan kami. Zakirin membayar pada tuan becanya sekeping wang 50 000 dong, lalu ditepis oleh tuan beca tersebut. Bukan itu harganya. Dia tetap mahu lebih.

Aku sudah malas melayan, sekali lagi aku marah kepada tuan becaku dan memberikannya wang 50 000 dong dan aku terus berlalu pergi. Aku katakan padanya, yang aku mahu membuat laporan polis, dia terdiam. Aku terus beredar, namun masalahnya sekarang, rakan-rakanku yang lain masih berada bersama tuan-tuan beca mereka. Aku katakan pada mereka,

“bayar jer dulu 50 000  dong, diorang tak nak sudah. Kita blah

 
Aku mahu cuba mencari polis namun kelihatannya tidak ada seorang pun polis atau pengawal di kawasan tersebut. Agak strategik juga mereka mencari kawasan untuk melakukan penipuan. Kelihatan Zakirin dipegang oleh tuan becanya, aku mulai risau sekiranya mereka mempunyai apa-apa senjata yang merbahaya. Terus aku cuba mencari lagi sekiranya ada polis di kawasan berhampiran. Namun tetap tiada.

Nukman pula kelihatan telah lepas dan datang menemuiku setelah memberikan pada tuan becanya RM 50 kerana wang Vietnamnya tidak cukup. Begitu juga Zack telah memberikan 200 000 dong pada tuan becanya. Masalahnya sekarang, Zakirin tidak punya wang mencukupi. Dia benar-benar ada 50 000 dong. Akhirnya, dipinjamkan 150 ribu dong buat Zakirin untuk menambahkan bayaran pada tuan beca tersebut menjadi 200 000 dong. Sekitar RM35 seorang.

Nukman pula yang bayar paling banyak sedangkan katanya dia bayar sekali untuk Zakirin dan Zack. Namun hendak buat bagaimana, nasi telah menjadi bubur. Mujur juga daripada kena bayar RM 300 seorang. Aku pula sakit hati kerana, sudahlah ditipu ditambah pula tidak berjumpa dengan seorang polis atau pengawal sekalipun yang boleh membantu. Benar-benar ditipu hidup-hidup.

Patutlah, mereka tidak mahu gambar mereka diambil ketika kami menaiki beca tadi. Kalau aku diberikan alasan takut ada orang ragut kamera, Nukman pula diberi alasan agama mereka tidak benarkan mengambil gambar. Memang kena tipu dari awal lagi, cuma kami tidak sedari walau sedikit meragui. Rezeki mereka hari itu barangkali.

Nasihat buat diri, lain kali baca do and don’t jika mengembara ke sesebuah negara. Banyakkan buat research mengenai scam dan modus operandinya. Untuk kes beca ni rupa-rupanya ramai juga yang sudah terkena. Peliknya lagi kenapa sampai sekarang masih wujud beca tersebut merayau di kawasan Ben Thanh  mencari mangsa. Tidakkah pihak kerajaan boleh haramkan saja penggunaan beca tersebut atau menangkap dan memberi saman kepada mereka kerana mencemarkan imej negara. Aku tidak mampu berkata apa.

“ Penipuan itu pelbagai jenis, sejauh mana kita berhati-hati mungkin terkena juga”

 Muka ketika separa sedar penarik beca ini penipu.

Kami Redho huhu


Kisah 2 : Kisah Scam di India.

India antara negara yang penuh dengan scam sehinggakan aku pernah terbaca ada yang berlakon memakai pakaian yang kemas siap berkot dan tali leher di stesen kereta api. Berlakon seolah-olah mereka pegawai stesen. Tujuan mereka adalah untuk target pelancong untuk menipu dengan mengatakan kereta api yang ingin dinaiki oleh pelancong tersebut tiada disebabkan oleh masalah-masalah tertentu. Terpaksa beli tiket lain yang jauh lebih mahal. Anehnya lagi, mereka siap ada bilik ofis sendiri untuk meyakinkan mangsa sebelum ditipu.

Begitu juga sekiranya mereka menggunakan sentimen agama, sebagai contoh apabila mangsa yang mereka cari itu adalah Islam, mereka akan berkata,

I’m muslim you are muslim” takkanlah kami mahu menipu mengenai harga sesama Islam.

 
Percayalah, apabila lafaz tersebut dituturkan, bermakna kita sedang ditipu. Aku pernah terkena dengan lafaz tersebut, namun disebabkan aku sudah mendapatkan info berkaitan, aku menolak dengan baik penipuan yang cuba dijalankan.

Namun sebanyak mana info yang aku terima berkaitan scam di India, akhirnya aku terkena juga. Ketika itu aku mahu mencari makanan halal di Agra, turut ada bersamaku ketika itu adalah Nukman dan Zack yang turut mahu mengikuti pengembaraanku di India. Ketika berbual dengan pemandu tuk-tuk yang membawaku ke hotel, dia adalah seorang Islam dan aku bertanya kepadanya sekiranya makanan yang dijual di hotel tersebut adalah halal. Jawapan yang diberikan adalah haram. Dia sudi membawa kami untuk mencari makanan halal, katanya susah untuk mencari makanan halal di Agra. Akhirnya kami dibawa ke sebuah kedai yang agak terpencil. Aku tanya kepadanya, kenapa di sini. Balasnya, sengaja bawa ke situ kerana jauh dari bunyi hiruk pikuk kenderaan. Ya, memang agak sunyi kawasan tersebut. Hanya kami pelanggan yang ada ketika itu.

Ketika kami duduk di meja makan, pemandu tuk tuk itu turut ada bersama. Dia mengesyorkan kepada kami untuk memilih makanan yang sedap. Ketika itu aku hatiku sudah tidak berapa sedap. Ditambah lagi apabila melihat harga-harga yang tertera. Nasi briyani sahaja sudah mencecah 200 rupee sekitar RM 12. Aku yakin yang kami sudah terkena. Bermakna, pemandu tuk-tuk ini akan mendapat komisen untuk setiap makanan yang kami pilih. Aku maklumkan pada rakan-rakanku mengenai penipuan yang berlaku. Nukman sudah terlalu lapar dan tidak mahu berfikir panjang. Aku pula masih mampu bertahan.

Untuk aku kenakan balik pemandu tersebut, aku hanya memesan sekeping roti nan dan air kosong sahaja.  Boleh pula pemandu tuk-tuk itu mempersoalkan pesananku. Katanya tak cukup kenyang tu. Aku tambah lagi,

“ Saya memang makan sikit”

Hakikatnya di Agra, ramai orang Islam dan untuk mencari makanan halal bukannya sukar. Memang aku tidak membuat kajian lebih mengenai tempat ini kerana terlalu percaya kepada sesama Islam.
“Berhati-hatilah, sakit ditipu sangat mendalam kisah hitamnya.”

  Inilah kedai tersebut. Siap ada logo Trip Advisor lagi haha..
Baik bungkus jer makanan atau makan atas hotel ni.Banyak jer kedai makanan halal di Agra ni huhu.


Kisah 3 : Terkenang Ditipu Lagi : Kejadian di Mesir .

Fikiranku mengimbas kembali sewaktu di Mesir. Ketika itu aku ingin membeli belah di Khan el-Khalili. Sangat penuh orang bernianga dengan pelbagai barangan jualan. Sedang aku asyik melihat-lihat ole-ole yang ingin dibawa pulang ke tanah air, aku tertarik untuk membeli jam tangan analog yang nombornya dalam abjad Arab. Sudah lama juga aku mencari jam tersebut. Aku terus bertanyakan mengenai harga dalam bahasa Arab.

Kam saman haza ya Said

Mi’atin genih “. 200 genih bersamaan RM100 jawabnya. Terkejut aku dengan harga yang diletakkan.

Ar khos Qolilan “ aku cuba meminta kurang. Tawar menawar berlaku.

Ketika itu harga mulai jatuh sedikit demi sedikit, daripada harga Rm100 menjadi RM70, kemudian RM 60. Peniaga tersebut siap mengatakan dirinya merupakan pelajar jurusan usuludin di Universiti Al Azhar. Tambah katanya lagi, dia takkan menipu harga kerana orang yang menipu tempatnya dalam neraka yang paling bawah. Siap pakej hadith mengenai keburukan menipu lagi disampaikan kepadaku. Aku mulai percaya namun tidak semudah itu. Dia menambah lagi jam ini penutupnya daripada besi. Kerana itu harganya mahal sedikit, yang murah itu daripada plastik.

Aku katakan tidak mengapa, cuma mahu lihat-lihat dahulu.
Sebelum aku berlalu pergi, dia memanggilku kembali meletakkan harga RM20 . Bayangkan daripada RM100 menjadi RM20. Bagiku itu sudah banyak dikurangkan. Aku tanpa mahu membuang masa, terus bersetuju untuk membeli lima utas jam tangan untuk dihadiahkan juga buat keluargaku. Kegembiraan terpancar pada wajah peniaga tersebut.

Keesokan harinya, ketika melalui kawasan Attabah selepas pulang dari kuliah. Di satu gerai aku ternampak jam yang sama, design yang sama, tapi harga berbeza. Jauh berbeza, apabila ditanya harga yang diletakkan pada awalnya adalah RM10. Namun selepas dikurangkan harganya hanya RM6 seutas. Bayangkan berapa utas aku boleh beli dengan harga RM100 yang dibayar di kedai sebelum ini.

Tambah menyakitkan hati, kelima-lima jam yang aku beli rosak sebelum aku pulang ke Malaysia. Bukan masalah bateri tetapi enjin jam tersebut yang sudah lama. Ternyata aku ditipu hidup-hidup. Cuba bersabar dan redha sahaja. Tenangkan jiwa. Terngiang-ngiang hadith penipuan yang dibacakan. Menggunakan agama untuk keuntungan dalam penipuan semata-mata.

 Keadaan di lorong lorong pasar Khan el-Khalili Mesir.
Muka tak puas hati asyik kena tipu jer haha..Sabor jer ler yop



So itu sahaja perkongsian kali ini. Nanti rajin saya kongsi lagi kisah kisah yang menarik sepanjang pengalaman saya mengembara di atas Bumi-NYA ini. In Sya Allah.




IKLAN :
Untuk dapatkan buku-buku Travelog MR Traveller. Boleh klik sahaja link ini : http://nak.la/MyTravelogMT

Comments

Popular posts from this blog

10 BUKU TRAVELOG Yang Menarik Untuk Dibaca

Ramai yang bertanya, buku Travelog apa yang boleh dibaca. Semua buku Travelog boleh baca, tapi yang ada pada saya ini ada 10 tajuk dan saya akan kongsikan secara ringkas sinopsis berkaitan buku buku tersebut. Biasanya ada harga promo untuk pembelian 5 buku iaitu hanya RM 100 dan Free Postage. Ok boleh baca dulu sinopsis ringkas buku buku ini. 1- Travelog MR.Traveller by Meor Farid Asyradi (Buku ini adalah kisah kembara seorang mahasiswa mengelilingi Eropah dengan menaiki kereta api seorang diri. Memang kalau baca buku ni macam kita pula yang mengembara sekali. Buku ni juga terpilih sebagai salah sebuah buku Best Of 2015 MPH) 2-TRAVELOG MR TRAVELLER (UNTOLD STORIES) by Meor Farid Asyradi (ini merupakan buku kedua Meor Farid Asyradi setelah buku pertamanya terjual lebih 20 ribu naskah. Buku ini ada 50 kisah benar dan ada juga kisah yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapapun. Misteri ) 3. TRAVELOG HJ MR.TRAVELLER. by Meor Farid Asyradi . (Buku ini adalah buku siri MR Travel

Bersama Dj Dj IKIM

I.K.I.M salah satu siaran radio yang sangat ana minati,jika Sebelum ini hanya bisa mengenali Dj2 radio lewat corong radio tetapi pada hari ini sy dapat bersama dengan Dj Erwan(rancangan Nasyid),Dj Mona Jazman(rancangan Mari Belajar bahasa Arab)dan Dj maslina(rancangan bersama Tenku Asmadi MEPS).Perasaan gembira menyusup ke dalam hati kerana dapat mengenali sebahagian DJ2 IKIM dengan lebih dekat,hampir setengah jam ana dapat berbual dengan mereka,sikap peramah benar2 sesuai dengan kerjaya mereka sebagai DJ radio Kefahaman Islam Malaysia.Pihak IKIM hadir di APIUM Nilam Puri bertujuan memberi peluang kepada pelajar2 membuat rakaman ucapan hari raya kepada orang yang dikehendaki bertempat di bilik mesyuarat APIUM.Insyaallah,rakaman akan di ON AIRkan pada hari raya ke2 sekitar jam 2 hingga 4.Ana juga sempat membuat rakaman,kene cakap bahasa Arab pulak,aduhai banyaknya salah tatabahasa hu3..Xpe,yang penting kita cuba ok.. Info: Rupa-rupanya kak Mona yang baca berita bahasa Arab dalam IKIM tu