Skip to main content

Kisah di Iran. Wanita ini Hampir sujud atas batu "carom".


















Kisah ini adalah merupakan kisah benar yang saya lalui ketika mengembara ke Bumi Parsi Iran. Kisah penuh telah saya nukil dan bukukan dalam buku Travelog kelima saya bertajuk Usrah Travelog MR Traveller.

Kisah ini adalah sekadar perkongsian dan gambaran buat pembaca ketika kembara saya dan keluarga ke sana. Ayuh, saya kongsikan kisahnya.
...................................



Lama juga kami berehat di luar kawasan masjid Imam zadeh Saleh sementara menanti masuknya waktu solat fardhu zohor bagi wilayah Tehran dan yang sewaktu dengannya. Sebenarnya aku memang berniat untuk tunaikan solat berjemaah di masjid ini. Pengalaman mahu merasai sendiri perbezaan yang dipelajari sebelum ini.

Pertamanya, perbezaan yang berlaku adalah sewaktu berkumandang azan. Ada tambahan Lafaz Ali WaliyuAllah dalam laungan azan tersebut. Ia mereka yang berfahaman Syiah, sangat taksub dengan Saidina Ali. Kerana itu, ramai orang Iran bernama Ali, Husin dan Hasan. Ahli Bait.

Keduanya, sewaktu masuk ke dalam masjid yang silingnya berwarna silver berkilauan, aku melihat kawasan saf hadapan seakan ada pameran gambar di mana mereka meletakkan gambar-gambar wajah orang yang sudah meninggal untuk dipamerkan. Aku tidak mengerti hal sebegini. Mengapa dalam masjid diletaknya.


Ketiga, ketika mula solat, aku sudah melihat perbezaan rukun yang kita pelajari selama ini. Aku awal awal lagi sudah solat sendiri sahaja untuk jamak taqdim zohor dan asar. Apa rukun mereka yang berbeza adalah, solatnya agak laju sewaktu perubahan rukuk ke sujud. Sujudnya pula di atas batu karbala bersaiz biji karom yang memang disediakan dalam bekas di hadapan pintu masjid. Jemaah boleh ambil (pinjam) seorang satu. Ada juga jemaah yang ambil tiga biji sekaligus.

Kemudian, adanya doa qunut dan solat mereka juga dijamakkan. Sudah beri salam, mereka solat lain pula secara berjemaah. Aku terus memerhati setelah selesai solatku. 

Keempat, mereka ada pengacara (emcee) yang mengawal perjalanan solat tersebut. Aku sangkakan suara imam yang mengangkat takbir, rupa-rupanya orang lain yang berdiri di hadapan imam sambil menghadap ke arah jemaah. Dia ditugaskan untuk beraksi seperti imam sedangkan imam sudah ada. Memang aneh dan ajaib.

Terdiam aku memerhati situasi sebegini.

Kelima, dalam masjid ini menempatkan makam Saleh yang merupakan anak salah seorang daripada 12 imam utama Syiah iaitu Imam Musa al-Khadim. Selesai solat, orang ramai berkerumun ke dalam kawasan makam ini untuk berdoa, meratap dan pelbagai lagi hal-hal yang
pelik seperti mencium tiang makam. Aku terus memerhati sambil berfikir menggunakan logik akalku yang waras.



Aku cuba letakkan situasi diriku sekiranya aku lahir sebagai warga Iran. Jika aku tidak belajar didikan agama yang tepat, pasti aku juga akan mengikut cara mereka. Kerana itulah yang mereka belajar sejak kecil dan itu juga fahaman mereka. Seperti kita di Malaysia,bersyukurlah majoritinya
berfahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Tetapi di sini majoritinya berfahaman Syiah dan mereka yakin dengan fahaman tersebut. Bagaimana kita mahu mengubahnya kerana mereka juga menghadap tuhan yang satu. Masjid mereka sentiasa penuh setiap waktu. 

Solat zohor di masjid tersebut seakan solat jumaat penuhnya. Mudahnya, sekiranya kita sudah maklum itu adalah perkara yang tidak tepat dalam Islam, maka kita tolak dan jauhkan agar kita tidak terpengaruh dengan fahaman-fahaman sebeginiMujur tiada yang memandang serong kepadaku kerana aku tidak sujud di atas batu. Mereka juga tidak kisah orang yang tidak sealiran dengan mereka untuk solat di masjid yang sama. Tidak ada pula mereka sampai mahu
membunuh seperti yang selalu dimomokkan.

Apabila ditanya Sunni atau Syiah. Jawab sahaja “Muslim”.

Namun memang ada juga golongan ekstremis yang sangat taksub dan radikal dalam beragama. Jangan kita pukul rata semua orang kerana mereka juga manusia. Moga kita semua mendapat hidayah dan termasuk dalam golongan yang akan bersama dengan Nabi di akhirat kelak
In Sya Allah. Aameeen.

Selesai solat, aku terus menuju ke bahagian solat perempuan untuk menemui isteri dan anakku.
Berbondong-bondong jemaah perempuan yang keluar dari pintu masjid. Sangat ramai. Kerana itu aku perlu menunggunya di luar kerana boleh tersesat juga jika tersalah percaturan. Sudahlah tiada telefon bimbit yang boleh digunakan untuk berhubung.



“Awak ok tak solat tadi?” ini soalan pertamaku sebaik menemui isteri. Teruja ingin tahu.

“Aduh abang, tadi saya solat di sebelah pintu masuk bahagian dalam. Ada mak cik tu ajak duduk situ. Aqeel (anak kami) ok jer duduk diam. Nak merangkak dan berjalan pon tiadaruang.” Cerita isteriku seakan ada sambungan lagi.

Lepas tu bang, time solat. Mak cik sebelah saya pergi letak batu karbala dekat saya. Terkejut saya. Nyaris Aqeel gatai tangan pergi ambil batu tersebut buat main. Dia ingat mainan kot. Kalau tak memang saya sujud dah atas batu tu” tambah isteriku lagi.

Ketawa aku dibuatnya kerana terbayang situasi tersebut. Itulah pengalaman yang sangat berharga buat isteriku. Dapat melihat sendiri situasi yang berlaku. Tambahnya lagi, mak cik di sini sangat ramah dan mahu mengajaknya bersembang bukan “membawang”(mengata).
Tetapi tidak faham. Mereka kalau salam tangan isteri seakan tidak mahu lepas. Mungkin terharu adanya orang asing yang datang ke negara mereka. Aqeel juga sudah jadi macam artis pula kerana orang ramai suka melihatnya.



SEKIAN.

Kisah penuh mengenai kembara di bumi Parsi ini boleh dibaca dalam buku Usrah Travelog MR Traveller tulisan Meor Farid Asyradi dan Siti Syahidah Samsudin.

Buku ini juga telah dinobatkan sebagai Buku Bacaan Umum Terbaik kategori Travelog, Anugerah Buku Negara 2019.



Jika berminat untuk dapatkan, boleh terus whatsapp atau klik jer http://nak.la/MyTravelogMT



Comments