Research And Study In China
Saat ini aku bagai tiada perasaan gembira untuk ke sana, tak tahu mengapa. Mungkin disebabkan masalah dalaman dan beberapa perkara yang menghantui diri. Namun langkah perlu diatur seiring dengan matlamat ke destinasi yang dituju. Aku mula mencari rasa, perjalanan ke kuala Lumpur dengan menaiki kereta api Shuttle bagai menguntai hari-hari dalam hidupku.
Setibanya di KL Sentral, aku teruskan perjalanan menaiki LRT ke Stesen Universiti sebelum sahabatku iaitu saudara kamil membawaku ke Kolej 12 Universiti Malaya.
“terima kasih akhi, Sudah-susah je tolong ana,”aku mengucapkan ucapan terima kasih kepada kamil yang memberi ruang masa membantu aku tiba di kolej.
“tak de apela, nanti jangan lupa beli hadiah dari China untuk ana. Tak de siap r ha3,” Kamil membalas dan membuat permintaan dan amaran. Aku tersenyum. Hadiah dari China. Sudah berama ramai yang memesan ole-ole dari negara komunis itu.
Aku terus melangkah mencari bilik yang akan didiami buat sementara waktu. Tingkat enam. Perasaan penat menjengah ditambah dengan kealpaan aku sendiri. Pergerakan menaiki tangga untuk ke tingkat enam bagai memerli diri ini.
“susah payah kontraktor buat lif,” aku bermonolog sendirian memandangkan lif disediakan di kolej itu. Aku tidak tahu mengenai keberadaan perkhidmatan tersebut. Untuk Senaman kaki. Aku memujuk diri.
“cuba perhatikan cara kehidupan diorang, itu je yang ayahanda nak,” Datuk Azrae yang terkenal dengan panggilan ayahanda memberi amanat. Beliau ingin kami memerhatikan cara kehidupan masyarakat China. Kehidupan masyarakat Islam China.
Perjalanan diteruskan lagi dengan menaiki Van Universiti ke KLIA pada malamnya. Lapangan terbang yang terkenal dengan keunikan binaannya dan dicopkan sebagai lapangan yang tercantik di Asia tidak putus-putus menerima kunjungan masyarakat seluruh dunia. Setelah selesai urusan penghantaran bagasi ke ruang kargo dan urusan tiket. Kami teruskan langkah ke tapak Kapal terbang Shenzen Airlines. Mataku tidak jemu melihat kemewahan binaan Airport KLIA, canggih. Begitu juga sahabat-sahabat yang lain. Rata-ratanya ini adalah kali pertama berurusan dengan kenderaan langit ini. Teringat sewaktu berada di KLCCT untuk penerbangan ke Sabah. Sangat berbeza.
Hari Pertama (29.4.2010) Sayap Musafir
Kelihatan beberapa penumpang pesawat terbaring di atas kerusi. Mungkin penat menunggu waktu berlepas. Bilik kuarantin bagai menjadi medan kesabaran buat kami. Jam baru sahaja melepasi 12 malam manakala Penerbangan ke Shenzhen pada jam 2.30 pagi. Untuk mengisi waktu menunggu, aku sempat menggunakan pekhidmatan Internet yang disediakan dan menghubungi sahabat-sahabatku.
“Ni Hao,” aku cuba berbahasa Mandarin. Pramugari membalas dengan senyuman. Mungkin tidak faham dialek bahasa aku.
Pecutan dilakukan, sayap pesawat kelihatan bergegar. Bunyi nyaring dari enjin pesawat bagai menjerit melepaskan diri dari cengkaman graviti bumi. Beberapa saat sahaja pandangan cahaya kota Kuala Lumpur menjadi kecil kerdil dan ghaib dalam kehitaman malam.
Setelah beberapa jam perjalanan, Kapten pesawat membuat pengumuman menyatakan pesawat akan mendarat ke Bandar Shenzen sebagai kawasan transit pertama kami . Kelihatan hari sudah beransur cerah. Setelah mendarat, kami terpaksa mengambil beg dan Chek In untuk kali kedua.
Sebelum mendarat di Lanzhou, kelihatan bandarnya berbukit bukau tanpa tumbuhan, berdebu sahaja kawasannya dari langit. Pada fikiranku, ini bukannya kawasan bandar, pasti pekampungan pedalaman. Setelah mendarat, aku dapat merasakan perubahan cuaca yang ketara. Agak sejuk. Saat ini, masalah bahasa benar-benar menguji kami. Hampir kesemua yang berada di Lapangan terbang Lanzhou tidak fasih berbahasa Inggeris. Aku juga diuji dengan masalah ini sehingga dianggap sebagi penceroboh.
Semuanya bermula sewaktu kes kehilangan dompet salah seorang sahabat dari kalangan Muslimat iaitu Faridah. Kami cuba membantu beliau untuk mencari di dalam pesawat, mungkin tercicir dalamnya. Namun masalah bahasa menghancurkan kehendak kami. Aku dan Syis dibawa oleh seorang lelaki menaiki tingkat kedua, pada kiraan aku, lelaki ini mahu membawa aku ke Pesawat semula, Setelah berbahasa isyarat dan menunjukkan tiket dan Passport, aku dan Syis ditinggalkan begitu sahaja. Terpinga-pinga aku dibuatnya. Aku terus mencari sahabat-sahabat yang lain sebelum ditahan oleh pihak guard airport dan dikenakan pemeriksaan scan ke atas kami berdua. Mungkin Allah sedang menguji saat itu. Pengalaman. Aku tersenyum.
Kami biarkan masalah ini diselesaikan oleh Mr Yusuf Liew yang bertidak sebagai orang kuat perjalanan kami ini. Beliau yang mengurus urusan lawatan kami ke China. Berbadan agak gempal dan suka tersenyum dan membuat kami ketawa. Kemudian kami dibawa ke tempat penginapan kami dengan menaiki kereta. Sepanjang perjalanan, aku dapat melihat corak bumi sebahagian kecil Negara China. Sangat indah. Jalan raya dan tempat pemandu kenderaan negara ini juga berbeza dengan Negara kita. Songsang. Setelah melalui perjalanan yang agak jauh, kami dapat melihat pembangunan yang sangat pesat di kota Lazhou ini. Sangkaan awalku ternyata meleset.
Sebelum tiba di hotel kami menginap. Kami terlebih dahulu disajikan dengan juadah hidangan makanan cina yang terlalu banyak di restoran Yusuf Ma. Umpama hidangan untuk empat puluh orang sahaja. Aku teringat kepada insan-insan yang berada dalam kelaparan, sekiranya aku berpeluang, ingin sahaja memanggil mereka untuk habiskan hidangan mewah itu. Pasti mereka gembira.
Setelah selesai mengisi perut dengan kadar yag mencukupi dan mempelajari cara untuk menggunakan Chop Stick, kami teruskan perjalanan sebelum tiba di hotel Yunus Ma dan menginap di sana. Setelah menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamaq. Aku dan sahabat-sahabat yang lain iaitu Syis, Nasrul, Edikop dan Amirul sama-sama berada dalam satu bulatan usrah untuk saling nasihat menasihati antara satu sama lain. Indahnya ukhwah berpaksikan Allah.
Setelah selesai beramah mesra dengan keluarga beliau. Kami sempat meluangkan masa untuk melawat-lawat kota Lanzhou sambil ditemani oleh anak Yunus Ma bernama Ahmad yang juga merupakan pelajar Universiti Malaya jurusan Sains Sukan. Berada di bandar Lanzhou bagai membuatku berasa berada 2 kali ganda kota Kuala Lumpur. Sangat sesak dengan banggunan yang menjulang tinggi, ribuan manusia yang tidak putus-putus berjalan kaki, bunyi hon dari kenderaan yang bersahut sahutan di atas jalan, cahaya neon yang berwarna warni yang dipasangkan di pokok dan banggunan yang dibina menambahkan lagi seri dan kemewahan bandar ini. Masjid Lanzhou antara tempat penyinggahan kami untuk menyembah Illahi, terasa asing walaupun menyembah Allah yang satu dan kiblat yang sama. Asing dari segi kekuatan jemaah masyarakat China, pengabdian diri mereka dan keramahan yang mereka tonjolkan.
Lanzhou pada hakikat di negara kita adalah sebuah kampung persis Baling,Kedah,Malaysia. Manakala di sini, Lazhou, Gangsu, China.
Setelah penat melawat kawasan bandar dan beberapa kawasan terkenal seperti Yellow River yang menjadi salah satu batang sungai yang bersejarah dalam tamadun China persis kepentingan Sungai Nil di Mesir, kami pulang ke bilik penginapan sebagai hamba Allah yang menghapkan keredhaannya. Aku baru sahaja melihat kekuasaan Allah dari kaca mata kota Lanzhou. Kerdilnya kita.
Hari Kedua.(30.4.2010) –Baba oh Baba-
Kemudian kami di bawa menuju ke Universiti Of Lanzhou untuk mengadakan hubungan dua hala dengan Universiti yang mempunyai enam kampus tersebut. Kami juga sempat beramah mesra dengan pelajar senior university tersebut. Mujur kami mempelajari bahasa Inggeris, dapat juga memahami tutur kata mereka.
......
Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari. Pada hari ini masyaratakt seluruh dunia akan berkumpul menunaikan perintah Illahi yang terpahat di dada AlQuran. Tunaikan solat Jumaat. Satu perkara yang menarik hati aku ialah gerombolan manusia yang berbondong-bondong ke masjid. Dengan berpakaian jaket dan jubah panjang, mereka bagai menanti-nantikan untuk bertemu Illahi. Walaupun berlainan bahasa, aku bagai memahami bait-bait ucapan mereka. Kedengaran, sang khatib menghujahkan sesuatu, sangat lantang dan bersemangat, jauh berbeza dengan sesetengah khatib di negara kita, mendayu-dayu membelai jemaah untuk tidur. Aku bagai terpaku melihat semangat Khatib keturunan China tersebut, aku Cuma memahami dalil-dalil dari Quran yang beiau gunakn sahaja, selebihnya aku cuba faham dengan cara aku sendiri. Setelah selesai solat fardhu Jumaat, jemaah bagai tidak mahu berganjak dari masjid, mereka menunaikan beberapa solat sunat sebelum meninggalkan masjid. Pengabdian yang sangat membuatku cemburu.
Sahabat baru kami yang menuntut di masjid tersebut kami temui lagi. Beramah mesra mengenai agama yang dianuti, masyarakat Islam di China sebenarnya sangat mengharapkan bantuan dari masyarakat Islam luar. Mereka sangat gembira dengan kedatangan kami di sini untuk membawa risalah Islam itu sendiri. Namun masa benar-benar mencemburui kami, dalam keseronokan berukhwah kerana Illahi, kami terpaksa berpisah buat sementara waktu. Moga-moga pertemuan kami ini kerana Allah dan perpisahan kami kerananya juga lantas mendapat naungan dari-NYA di akhirat kelak. Amin. Setelah itu kami dibawa ke pejabat Persatuan Muslim China yang diketuai oleh Baba atau nama sebenarnya Yusuf Ma. Sangat baik orangnya. Persatuan ini ditubuhkan bagi menjaga kebajikan masyarakat Islam khususnya. SubhanaLLah. Kekayaan yang diterimanya bukan milik seorang diri. Setelah beberapa jam berbicara perihal masyarakat Islam dan kehidupan, kami teruskan perjalanan.
Warna sungai tersebut seakan kekuningan, masyarakat China berpusu-pusu melalui jambatan besi yang dibina melempari sungai itu. Sebuah banggunan persis Kuil unik masyarakat China kelihatan berdiri megah di kaki bukit yang tidak ditumbuhi pokok. Cahaya matahari yang menyimbahi kota Lanzhou itu bagai tidak membawa kesan kepanasan kepada bumi. Angin yang membawa bibit-bibit kesejukan menghalang kepanasan itu.
“mii Yaau,” aku pantas mengatakan tidak dalam bahasa mandarin. Usaha perempuan China itu tidak berhasil. Sudah berapa kali aku menuturkan kalimat yang mampu mengecewakan penjual kaki lima. Kami juga sempat membeli belah di kawasan tersebut. Aku dapat mempejari serba sedikit kesungguhan masyarakat China dalam berniaga. Bersungguh-sunguh dan tidak sambil lewa.
Pada malamnya kami di bawa oleh ayah angkat kami ke rumahnya. Baba, begitulah panggilan kami kepada beliau. Pemilik beberapa restoran Islam di Kota ini. Sangat kaya dan jika di Malaysia pasti dapat anugerah sekurang-kurangnya DATUK. Namun masalah besar menghadapi keramahan perbualan kami. Beliau tidak pandai berbahasa Inggeris mahupun Arab. Justeru bahasa isyarat rekaan sendiri dijadikan sebagai bahasa penghantar.
Sebelum lena menakluk, kami terlebih dahulu menunaikan solat fardhu Isyak secara berjemaah dengan baba. Masa terus berlalu tanpa sedetik pun menunggu.
Hari ketiga(1-5-2010): Sebuah Perjalanan
Perjalanan ke kota Xining memakan masa hampir 3 jam. Perjalanan yang sangat indah dengan pemandangannya yang berbukit batu. Tanah yang kelihatan gersang tanpa tumbuhan hijau bagai membuatku berada di dimensi lain. Angin yang menerjah masuk melalui tingkap Van merekahkan kulitku. Bibirku mula menunjukkan reaksi sensitif dengan cuaca baru di hari pertama bulan kelahiranku. Cuaca di sini lebih sejuk berbanding di Lanzhou.
Setibanya di Hotel Yellow River kepunyaan mr Yusuf Han, kami terus masuk ke bilik masing-masing untuk merehatkan diri sebelum menghabiskan hidangan yang pastinya sangat hebat. Malamnya kami sempat berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel. Melihat pemandangan malam yang mula sunyi. Kedai-kedai telah menamatkan operasi sekitar 9 malam. Hanya tinggal gerai-gerai makan sahaja. Gerai-gerai makanan Islam turut kelihatan. Kota Xining adalah antara kota yang terletak di sebelah utara China dan mempunyai masyarakt Islam yang agak ramai, justeru tidak hairanlah kita dapat melihat mereka yang berkopiah dan bertudung.
Hari Keepat(2.5.2010): Pengabdian yang merugikan.
Old Temple menjadi tempat lawatan kami seterusnya. Bertujuan untuk menambahkan pengetahuan masyarakat China dan Tibet terutamanya. Kami dapat melihat beberapa insane yang sangat kuat peganganya melakukan kaedah penyembahan yang sangat memenatkan. Terpaksa menonggeng sehingga meniarap di atas bumi dan mengulanginya sehingga melakukan beberapa pusingan temple yang sangat luas. Diceritakan ada sesetengah yang mengabdikan dirinya untuk melakukan penyembahan ini sehingga tamat riwayatnya. Bayangkan sekiranya pengabdian tersebut dilakukan buat Islam. Para Sami yang berkhidmat untuk rumah tuhan mereka pula bagai tidak dapat melihat dunia luar. Tidak penat berkhidmat sehingga hari tua. Tidak fikir mengenai mahu mempunyai keluarga dan bercinta.
Kelihatan masyarakat China yang hadir meletakkan wang di depan berhala emas yang dibina. Bukan hari itu sahaja, malah setiap hari. Duit ini sudah pasti digunakan untuk kepentingan sendiri. Ruginya, Jikalau wang tersebut diletakkan di tabung masjid alangkah beruntungnya. Tapi mengapa ada di sesetengah masyarakat kita yang tidak mahu menghulurkan wang kepada agama kita.Oh dunia yang buta.
Agama Islam sangat indah, bersyukurnya aku dilahirkan dalam Islam. Semoga Allah memberi hidayah kepada masyarakat di kawasan ini. Islam agama yang syumul dan benar-benar di sisi Illahi. Tidak pernah membebankan penganutnya dengan sesuatu di luar kemampuan hambanya.
...
Kami tidak dapat menghabiskan melawati keseluruhan temple, cukuplah sekadar mengetahui serba sedikit mengenai agama mereka. Tambahan, kami sudah mulai bosan dengan keadaan di temple tersebut. Dengan asapnya, berhalanya, dan fahaman masyarakatnya. Alhamdulillah hati kami menolak dakwah yang cuba di bawa oleh pengiring yang di sediakan di situ. Apa yang aku pelajari ialah pengabdian diri sebagai hamba. Bayangkan pengabdian diri kita kepada yang maha esa. Bagaimana? Persoalan oh persoalan.
Seterusnya kami melawat Resgreen Group iaitu syarikat barangan kosmetik Islam di sini dan seterusnya menunai solat Zhor dan Asar di Masjid Dong Guan. Sekali lagi keajaiban masyarakat Islam di sana aku saksikan. Waktu Zohor belum lagi tiba, tetapi mereka sudah mula memenuhi masjid sehingga ruangan utama masjid penuh. Mujur aku sempat menyup masuk keruangan tersebut, itupun di saf yang terakhir. SubhanaAllah. Teringat di masjid-masjid degara kita, hanya penuh sewaktu, solat Jumaat, raya dan Jenazah.
“oh MALAISHIA,” itulah antara ungkapan dari masyarakat china yang kami temui setelah mengetahui kami dari negara Malaysia.
Kemudian kami ke Sala Restaurant untuk makan tengahari. Makanan oh makanan, banyaknya. Suatu perkara yang boleh dipelajari, makanan yang dimakan dihadam dengan begitu baik sekali, salah satu sebab adalah air Teh China. Mujur juga ada air ini, dapat juga menghadkan kadar masuk kami ke tandas yang baru bagi kami dari segi sistem perpaipannya.

( بناية المسلم ) dan merupakan hotel Islam terbesar di Xining kepunyaan Ustaz Habibillah. Suatu yang menarik mengenai Ustaz Habibillah adalah misi beliau. Keuntungan yang diterima melalui beberapa syarikat yang beliau miliki termasuk hotel ini adalah untuk ISLAM. Seperti contoh, keuntungan diagihkan sebagai biasiswa kepada pelajar yang akan mengajar anak-anak masyarakat China di kawasan-kawasan kampung ketika cuti pengajian, memberi bekalan makanan kepada fakir miskin setiap bulan dan membayar beberapa doktor bagi merawati masyarakt Islam yang mempunyai masalah kesihatan dan sebagainya. YA Allah, semoga pengorbanan beliau dapat menjadi contoh kepada masyarakat Islama keseluruhannya serta.
Pada petangnya kami menerima ketibaan Ayahanda Azrae, ketibaan beliau di sambut meriah oleh tuan hotel dan beberapa kerabat beliau. Majlis yang ringkas ini bertujuan untuk membicarakan mengenai misi kami di sini. Seterusnya kami bersiap-siap untuk makan malam bersama dengan Presiden Qinhai International Universiti.
Hari Kelima(3.5.2010): Angin Sahrawi.
Setelah itu, kami teruskan perjalanan pulang ke hotel setelah singgah di Old City yang menempatkan rekaan banggunan China yang unik Serta menjamu selera di Huang Dong Hotel. Pada malamnya kami bersiar-siar bersama dengan Mr Sulaiman yang baru sahaja menamatkan pengajian masternya di U.I.A.M. Bekerja sendiri dan masih belum berkahwin.
“I don’t have any free time. I love to work,” antara kata-kata yang sangat mendalam sewaktu aku bertanyakan mengenai masa lapang beliau. Sudah sinonim dengan masyarakat China yang kuat bekerja. Berbanding dengan sesetengah dari kalangan kita. Islahkan diri.
Hari keenam(4.5.2010): Sahabat Baru
Sewaktu perbincangan berlangsung, beberapa pelajar di sana melakukan persembahan seperti nyanyian lagu dan persembahan tulisan Caligrafi. Kami juga sempat menyampaikan beberapa buah lagu seperti Gelombang Keadilan, Negaraku, Universiti Malaya dan paling menarik Asma Ul Husna. Semoga nama-nama Allah yang pertama kali disebutkan di situ memberi kesan kepada hati-hati yang mencari kebenaran. Masa sekali lagi memecut, membuatkan kami tidak puas berkomunikasi dengan mereka. Namun apakan daya, kami hanya sementara.
Di hari terakhir ini, kami menghabiskan beberapa Yuen untuk membeli hadiah dan kenang-kenangan buat mereka di tanah air, Aku juga turut membelanjakan sehingga habis 800 Yuen yang bersamaan Rm 400. Pada malamnya, kami dihidangkan dengan makan malam bersama dengan Mr Sulaiman. Kami mula berkemas-kemas untuk pulang ke tanah air keesokan harinya.
Hari Terakhir(5.5.2010): Xining-Lanzhou-HuangHua-Shenzen-KLIA-Perak
Perjalanan diteruskan lagi ke lapangan terbang Lanzhou meninggalkan seribu satu kenangan. Penerbangan ke Shenzhen setelah transit di Huanghua Airport bagai sudah membuat aku jemu menaiki kapal besi ini.
Hampir seharian perjalanan kami dengan masalah Flight delay sewaktu transit di HuangHua dan sebagainya.
Geseran tayar Pesawat Shenzhen Airlines di landasan KLIA tepat jam 1.45 pagi di keesokan harinya menamatkan perjalanan kami di udara dan menutup tirai lawatan kami.
Terima kasih diucapkan kepada semua yang telibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan misi lawatan ini. Turut juga kepada Saudara Bukhairy yang sangat "Ithar" orangya:).Semoga mendapat keredhaan dari llahi. Sekian.
Gambar tambahan sila jenguk di:
Comments